Wednesday, February 25, 2009

WASIAT HASSAN AL BANNA-Baca al-Quran, jangan buang masa (2)



Program tarbiyyah kedua yang terjelma melalui wasiat Hasan al-Banna ialah perihal mempertingkat daya faham umat Islam melalui bacaan al-Quran, membaca buku-buku, mendengar ceramah agama, mengamalkan zikrullah.

Pendek kata, Imam Hasan al-Banna tidak mahu anggota ikhwan atau umat Islam itu akan terbuang waktunya walau sedikit pun dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Di dalam surah al-Asr, disebutkan mengenai kerugian yang dikaitkan dengan masa. Pada asalnya, semua manusia itu hidup sentiasa dalam kerugian.

[1] Demi Masa!; [2] Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; [3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Tetapi, antara mereka itu, ada beberapa golongan yang semakin berkurangan kerugiannya dengan sebab amalan dan kepercayaan mereka itu.

Pertamanya, mereka yang beriman, yakin dan percaya kepada Allah, kitab-kitabNya, nabi dan malaikat serta kewujudan akhirat. Sesiapa yang termasuk dalam golongan ini, maka mereka telah terlepas daripada belenggu kerugian yang pertama.

Kedua, mereka yang beramal soleh, membuat kebajikan, membantu meringankan beban, membuang kesusahan orang-orang yang memerlukan bantuan dan sebagainya.

Ketiga, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah atas nama kebenaran.

Keempat, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah dengan penuh kesabaran.

Tetapi, awal kepada segala puncak kesedaran ini bermula apabila seseorang Muslim itu mula memahami makna yang tersembunyi dan terselit di dalam al-Quran.

Sesudah al-Quran menjadi kunci kepada pintu kesedaran seseorang Muslim itu, Hasan al-Banna berpesan kepada kita supaya kerap membaca buku-buku. Sudah tentu, buku ilmiah ini akan menuntut pergerakan pemikiran kita ke arah laluan kebenaran.

Dengan pengetahuan, seseorang Muslim tidak akan tertipu. Buku-buku ilmiah boleh juga kita dapati daripada ulasan-ulasan buku di majalah, akhbar. Ringkasnya, hubungan orang Islam dengan buku itu wajib ada.

Sekiranya, tiada buku dijumpai, maka al-Banna menyeru kita pergi mencari guru, ustaz yang menyampaikan ilmu, ceramah agama tempat terbitnya segala buah fikiran baru.

Selanjutnya sumber-sumber ilmu lain selepas itu ialah usrah atau perkumpulan kecil yang selalu membanyakkan ucapan-ucapan yang baik didengar. Diskusi perkumpulan kecil ini juga perlulah dihadiri oleh seseorang Muslim yang beriltizam dengan agamanya.

Dan, seterusnya Imam Hasan al-Banna berpesan kepada kita agar mengamalkan zikir dan beriltizam menghabiskan ratib-ratib yang kita mahu amalkan. Paling mudah seseorang itu boleh mengamalkan wirid al-Mathurat, Wazifah as-Sughra jika tiada kesempatan.

Dengan amalan wirid wazifah al-Kubra dan as-Sughra inilah seseorang itu akhirnya akan menggunakan masanya untuk membuat hal-hal kebaikan secara tak langsung.

Lalu, dengan cara membaca al-Quran, memperuntukkan masa untuk membaca buku atau berzikir, maka sepenuh kehidupannya terisi dengan waktu-waktu yang indah serta masa yang berfaedah. Lalu, terelaklah beliau menggunakan waktunya ke arah keburukan.

Kesimpulan
Maka, hendaklah setiap umat Islam itu membaca al-Quran. Tidak cuma membaca. Yang paling penting ialah mereka mesti cuba memerhati pesanan Tuhan di dalamnya.

Jangan dibiarkan hati mereka selalu kering dan akhirnya mati. Basahkan dengan sejumlah wirid, ratib-ratib dan zikrullah yang biasa diamalkannya. Hati yang sentiasa ada pertalian dengan Tuhan akan sentiasa bersimbah ilmu, ilham dan pengetahuan yang baru.

"Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah." Wasiat kedua Imam Hasan al-Banna.

Carilah ilmu walaupun sedikit. Masa yang terluang dengan tujuan yang tidak munasabah hendaklah kita sifarkan sama sekali. Hidup seorang Muslim itu sentiasa penuh dan padat dengan hal-hal yang berguna kepada diri dan masyarakat sekitarnya.

Al-Quran itu adalah induk samudera ilmu. Akar pengetahuan dan ranting hidayah kepada kita semua. Bacalah al-Quran, kelak ia menjadi pendinding kepada segala permasalahan dan ia akan berbicara kepada kita.

Sampai kepada suatu saat, al-Quran akan menjadi suara yang akan berbicara kepada jiwa kita dengan syarat kita memahaminya betul-betul mengikut nahu bahasa Arab.

Lazimkanlah diri membaca, menghafal dan yang paling utama, menghayati, merenungi setiap inci perkataannya dan lihat arahan Tuhan. Lazimi lidah kita dengan berzikir atau hati kita mesti ikut berzikir. Ketenteraman dan kedamaian akan menyelimuti kita.

No comments:

Post a Comment